DAERAH KECIL SADONG JAYA

 

PENGENALAN

                Sadong Jaya sebelum ini adalah merupakan daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Simunjan dan mulai 1 Januari 2002, Daerah Kecil Sadong Jaya telah menjadi daerah kecil di bawah pentadbiran Daerah Asajaya.  Jarak Sadong Jaya ke Asajaya ialah 15 km, 75 km dari Kuching dan 35 km dari Samarahan (menggunakan perkhidmatan feri). Sadong Jaya terkenal dengan aktiviti pertanian seperti  kelapa, kelapa sawit, pisang, nenas, limau, penternakan ikan, udang, ayam dan sebagainya. Kegiatan pertanian ini telah giat dijalankan sejak 1964 setelah Projek Saliran Asajaya siap dengan kawasan seluas 18,143 hektar di Semenanjung Asajaya yang terletak di antara Batang Samarahan dan Batang Sadong.

                Penduduknya masih bergantung kepada sektor pertanian sebagai punca pendapatan utama mereka. Sehubungan itu, sektor pertanian dan industri makanan ini perlu mencari langkah-langkah baru dan berinovatiif untuk dilaksanakan bagi mempertingkatkan sumbangan sektor ini bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk luar bandar.

               Kegiatan pertanian berskala besar terutamanya penanaman kelapa sawit juga diusahakan di Sadong Jaya dengan kerjasama FELCRA memainkan peranan utama. Ladang kelapa sawit yang dibuka ini telah membberi peluang pekerjaan kapada belia dan penduduk setempat. Ia melibatkan penduduk di 5 kawasan iaitu Sg. Buluh, Senangeh, Terasi, Sadong Jaya dan Jemukan dengan keluasan tanaman seluas 864.32 hektar dan projek penanaman ini akan diluaskan di beberapa lagi tempat.

 

ASAL USUL KAMPUNG PENDAM

BAGAIMANA KAMPUNG PENDAM MENDAPAT NAMA

               Mengikut mitos kira-kira lebih 100 tahun dahulu, sekumpulan orang Iban telah datang mendiami kawasan ini. Mereka mendirikan rumah panjang dan tinggal bersama-sama dan tinggal di situ. Untuk menyara hidup mereka bertananam padi dan bekerja sebagai petani sepanjang masa.

 Setelah beberapa tahun tinggal di kawasan ini, suatu ketika berlakulah mala petaka di mana tanaman padi mereka yang sedang masak hanya menunggu masa untuk dituai habis dimusnah dimakan oleh seekor ular yang sangat besar. Kononnya ular berkenaan turun dari langit (andaian mereka). Penduduk Iban telah berang dan sangat marah serta bertekad untuk membunuh ular yang telah memakan padi mereka. Pada malam berikutnya, ketua rumah panjang mengajak semua kaum lelaki bersedia dan menunggu kedatangan ular tersebut.

 Setelah menunggu semalaman ular itupun muncul hendak memakan padi maka mereka pun membunuh pun membunuh ular tersebut. Mereka sangat gembira kerana Berjaya membunuh ular itu dan seterusnya membahagikan ular itu untuk dimakan. Semua yang telah memakan ular itu telah menemui ajal kecuali seorang wanita yang sarat mengandung masih hidup kerana tidak memakan ular itu. Wanita itu telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan kediaman serta mudik ke hulu sungai. Disebabkan tragedi kematian kaum keluarga beramai-ramai itu maka wujudlah perkataan “PENDAM” yang bermaksud kawasan perkuburan bagi orang Iban.

 Mengikut cerita orang yang mula-mula meneroka Kampung Pendam ini masih menjumpai tanda-tanda kesan Pendam Iban seperti mana cerita di atas. Walau bagaimanapun ianya terhakis akibat keadaan sungai yang ada sekarang (Sungai Pendam).

 

PERTUKARAN NAMA “PENDAM” KEPADA “SADONG JAYA”

Kini nama Pendam hanya tinggal kenangan kerana telah ditukar kepada “SADONG JAYA”. Arus pembangunan atas dasar perkembangan politik , perkataan atau nama “Pendam” itu tidak begitu  sesuai didengar di kalangan masyarakat umum. Maka pada pada 04.08.1985 Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Datuk Patinggi pada masa itu) mengisytiharkan bahawa Kampung PENDAM ditukar kepada SADONG JAYA (sempena nama Batang Sadong)setelah mengikut jejak NONOK menjadi ASAJAYA. Pengisytiharan itu diumumkan beliau sendiri di Majlis Bertemu Rakyat bertempat di Madrasah Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya.

Mengikut pemimpin masyarakat di sini, perkataan “Sadong” diambil sempena bentuk geografi kawasan kawasan ini iaitu, berhampiran dengan Batang Sadong  (daripada Kuala Sadong menganjur ke Laut China Selatan) dan perkataan “Jaya” yang pastinya menjanjikan kejayaan yang berkekalan.

 

PENTADBIRAN BARU DI BAWAH DAERAH ASAJAYA

 

Pada 1 Januari 2002 adalah detik bersejarah buat Daerah Kecil Sadong Jaya kerana secara rasminya Daerah Kecil Sadong Jaya diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Asajaya. Ia serentak dengan penaiktarafan daerah kecil Asajaya kepada daerah penuh. Sebelum ini Daerah Kecil Sadong Jaya diletakkan di bawah pentadbiran Daerah Simunjan.

Pengecilan beberapa kawasan pentadbiran yang kini telah diambil oleh daerah yang berhampiran telah menjadikan ia mudah untuk ditadbir dan diurus.

 

PERISTIWA BERSEJARAH DI SADONG JAYA

Mengikut cerita pemimpin masyarakat di sini, pernah berlaku peristiwa bersejarah iaitu apabila kapal Masyarif Masahor telah tenggelam akibat diserang oleh penjajah pada masa itu, sebelum mereka melarikan diri dari Ensengei (kawasan Simunjan) ke Lingga. Peristiwa ini telah berlaku di muara Sungai Pendam.


Sumber : Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya

Sumber : Cawangan Pengurusan Tanah, Jabatan Pertanian, Sarawak.

Sumber : FELCRA Asajaya

 

SEJARAH PEDi SADONG JAYA

              PEDi Sadong Jaya telah beroperasi pada 1 Julai 2013 dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong pada 30 Mei 2014. Pusat Internet 1 Malaysia Sadong Jaya terletak di Bangunan Lembaga Amanah Masjid Sadong Jaya, 94600 Asajaya, Sarawak bersebelahan dengan PDK Sadong Jaya. Pusat Ekonomi Digital Sadong Jaya diberi nama PEDi Sadong Jaya kerana bertempat di Daerah Kecil Sadong Jaya.